Monday 15 July 2013

SELAMAT BERPUASA DI UK

Salam sejahtera,

Semasa berpuasa di UK, saya sangat rindukan bazar Ramadan. Lompat tikam, buah gomok, puteri mandi dan segala kuih-kuih tradisional Melayu. Namun ia sekadar impian sahajalah. Semua itu bukannya kenyataan.

Berpuasa di UK pada waktu itu sungguh simple. Masyarakat Islam memang ramai. Ramadan ialah bulan ibadah dan bukan bulan pesta juadah seperti di Malaysia. Kuih-kuih manis hanya dijual di kedai-kedai Pakistan seperti al-Halal dan sebagainya. Itu pun kuih-kuih Pakistan yang sangat manis rasanya.

Kami bersahur di rumah. Anak-anak ke sekolah seperti biasa. Saya menjalani rutin belajar yang biasa. Isteri bekerja seperti biasa. Berbuka juga di rumah seisi keluarga. Solat terawih di surau atau masjid sangat meriah. Ramai Muslimin, Muslimat dan anak-anak turut memeriahkan suasana. Di Malaysia ada morey... tetapi di UK tidak ada. Namun kerap kali jemaah diberikan buah epal yang disedekahkan oleh masyarakat tempatan di sini. Hmmmm... jika di Malasyia tentulah pisang.

Zakat Fitrah dibayar dengan hanya memasukkan duit ke dalam tabung-tabung yang disediakan. Niat membayar fitrah dan masukkan duitnya. Tidak perlu amil.

Hari raya juga meriah. Kami masak lemang, rendang, laksam, ketupat dan banyak lagi. Solat Aidilfitri (dan juga Aidiladha) memberikan pengalaman yang sangat berbeza khususnya kepada kanak-kanak. Selepas solat, kanak-kanak diminta berbaris (barisan lelaki dan perempuan). Mereka semua menerima hadiah hari raya dari imam.

Selamat hari Raya dari Leeds, UK.


No comments:

Post a Comment